KOTA BHARU: Sebanyak 17 kawasan di empat daerah dihentikan bekalan elektrik berikutan keadaan banjir semakin membimbangkan.
Berdasarkan TNB Careline, empat daerah berkenaan adalah Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu.
Setakat jam 8 malam ini, terdapat 11 pencawang elektrik yang dihentikan bekalan elektrik ekoran keadaan banjir yang semakin membimbangkan.
Daerah Machang membabitkan tujuh lokasi, Pasir Puteh empat lokasi dan Kota Bharu serta Tanah Merah masing-masing membabitkan tiga lokasi.
Sementara Bernama melaporkan, sebanyak 11 pencawang elektrik dihentikan bekalan elektrik setakat malam ini ekoran keadaan banjir yang semakin membimbangkan di sekitar Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasminya pada malam ini memaklumkan, bekalan elektrik berkenaan ditutup demi keselamatan pengguna setempat.
“Antara kawasan yang dihentikan bekalan elektrik di daerah Kota Bharu ialah G-Orange, Sekolah Kebangsaan Kadok dan Taman Sri Kulim manakala daerah Pasir Puteh pula ia melibatkan DPS 9-12, BELB Sungai Gali, Kilang Bata Tasek Pauh dan Yik Tualang Tinggi.
“Berikutan itu, bagi daerah Tanah Merah ia melibatkan Manal 1 & 2, Manal Baru, Kilang Kayu Manal.
“Selain itu, di daerah Machang melibatkan kawasan Kampung Tandak, Machang Indah, Limau Hantu, Taman Sri Kelaweh, Taman Setia Kasih, LPT Tok Coba dan Wakaf Indah,” menurut kenyataan itu.
TNB turut memaklumkan jika banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat, bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.
“Sentiasa berwaspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir.
“Masyarakat juga diminta menjauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus,” menurut TNB.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.