Tumpuan :
Nasional

Banjir Beaufort belum pulih, 224 mangsa banjir masih di PPS

BEAUFORT: Sejak diaktifkan Jumaat lalu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, di sini masih didiami kira-kira 224 daripada 70 keluarga mangsa banjir setakat jam 8 pagi tadi.

Tiga keluarga membabitkan tujuh mangsa sudah dibenarkan pulang petang semalam berikutan beberapa kawasan yang terjejas banjir mulai surut.

Setakat tengah hari semalam, seramai 231 mangsa daripada 31 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan berbanding 228 orang daripada 72 keluarga pagi semalam.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Daerah (JPBD), kesemua mangsa yang dipindahkan ialah dari Kampung Suasa Bakalau, Bangkalalak, Lago dan Berumbai.

Bagaimanapun, beberapa kawasan seperti di sekitar pekan Beaufort, Kampung Bingkul dan Melulugus sudah surut sejak semalam.

Hanya di kampung bahagian hilir Sungai Padas dilaporkan masih ditenggelami banjir setakat semalam, antaranya Kampung Suasa, Bangkalalak, Beringin dan Lawa.

Banjir melanda kebanyakan kampung di kawasan rendah sekitar daerah ini berikutan limpahan air Sungai Padas berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan hulu di zon pedalaman sejak beberapa hari lalu.

PPS Selagon dibuka selepas keadaan banjir bertambah buruk terutama kampung di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Sabah melaporkan tiada sekolah di kawasan terjejas banjir ditutup akibat bencana alam itu setakat ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini