BATU PAHAT: Seorang bakal pengantin nekad berdayung 500 meter untuk ke rumah keluarganya yang dinaiki banjir di Parit Sulong di sini semata-mata untuk mengambil lapan dulang hantaran dan baju pengantin.
Pekerja swasta, Muhammad Syahirul Hanif, 23 sanggup meminjam sampan rakannya untuk mengambil dulang hantaran yang telah siap dihias .
Semua barang hantaran itu sempat diselamatkan ketika paras air naik pada Rabu lalu dengan meletakkannya di atas syiling rumah.
Katanya, lapan dulang hantaran iaitu tiga daripada pihaknya dan lima dulang daripada bakal isterinya, Siti Syafiqah Zaidi, 18, telah siap digubah ibunya, Halimah Sulaiman, 49.
“Saya dan pasangan djadualkan bernikah pada Sabtu ini (11 Mac), di kediaman pasangan di Sungai Sudah, Muar yang tidak terjejas banjir.
“Dulang hantaran ini, akan disimpan di rumah rakan di Taman Puteri Indah, di Batu Pahat sebelum majlis bermula,” katanya ketika ditemui selepas menyelamatkan barangan hantaran di Jalan Parit Sulong, di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Syahirul, dia sudah dua kali berulang mendayung sampan untuk mengambil barangan hantaran itu.
Katanya, selepas bernikah dia akan kembali semula ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kolam Air di Kangkar Merlimau di sini.
“Ini semua ujian, saya anak kedua dariapda lima beradik tetapi anak pertama dalam keluarga yang akan bernikah.
“Keluarga, terutama ibu memang teruja, selepas bernikah Sabtu ini, saya akan ke PPS semula dan membantu keluarga membersihkan rumah apabila dibenarkan pulang selepas air surut nanti,”katanya. – BERITA HARIAN