SEREMBAN: Seramai 807 mangsa banjir daripada 218 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di tiga daerah di negeri ini setakat pagi ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata, daerah Tampin mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 595 orang yang dipindahkan.
Katanya, lima PPS dibuka di daerah Tampin iaitu di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Jelai 4, Sekolah Kebangsaan (SK) Gedok, SK Sungai Kelamah, Balai Raya Pasir Besar dan SK Londah.
“PPS SK Sungai Kelamah menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 524 orang daripada 135 keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, empat PPS dibuka di daerah Jempol menempatkan 152 mangsa daripada 38 keluarga iaitu di SK Palong 1, SK Palong 7, SK Rompin dan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sialang.
“Seramai 60 mangsa banjir pula ditempatkan di dua PPS yang dibuka di daerah Kuala Pilah.
“Dua PPS dibuka di Dewan Desa Dangi dan SK Pilah membabitkan 23 keluarga yang terjejas,” katanya.-BERITA HARIAN