Tumpuan :
Nasional

Banjir: 7 stesen pemancar di Kelantan & Terengganu masih terjejas

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tujuh stesen pemancar dan 42 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kelantan dan Terengganu masih terjejas susulan banjir yang melanda kedua-dua negeri itu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, setakat jam 10 pagi tadi, enam stesen pemancar yang terjejas di Kelantan ialah di Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Manakala di Terengganu, sebuah stesen pemancar di Hulu Terengganu terjejas.

Sementara itu, daripada 42 NADI yang terjejas, sebanyak 27 adalah di Kelantan dan 15 di Terengganu.

“Kesemuanya terpaksa ditutup akibat ditenggelami air dan putus bekalan elektrik. Akses ke lokasi NADI juga terhalang,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, MCMC berkata, bagi memastikan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri tersebut dapat terus berhubung melalui internet, pihak MCMC Negeri telah menjalankan ujian liputan di beberapa PPS.

Ia bagi memastikan liputan telekomunikasi berada pada tahap yang memuaskan.

Sementara itu, MCMC dengan kerjasama penyedia perkhidmatan akan terus menjalankan
pemantauan rapi di negeri yang terjejas akibat banjir.

Pemantauan tersebut khususnya membabitkan infrastruktur telekomunikasi yang dianggap kritikal dan memastikan perkhidmatan telekomunikasi akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.

Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 5.55 petang, seramai 55,140 mangsa daripada 16,804 keluarga ditempatkan di 404 PPS di Kelantan dan Terengganu.

Daripada jumlah itu, seramai 46,294 mangsa di Kelantan yang mendapat perlindungan di 199 PPS.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini