comscore
Tumpuan :
Nasional

7 PPS dibuka di Pulau Pinang, 77 mangsa banjir dipindahkan

Oleh: Selwam Arjunan

BUTTERWORTH: Tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pulau Pinang, dengan semuanya di kawasan tanah besar Seberang Perai bagi menempatkan 77 mangsa banjir.

Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang berkata, penduduk dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air susulan banjir kilat.

Tiga PPS diaktifkan di daerah Seberang Perai Utara, diikuti masing-masing dua PPS di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Di daerah Seberang Perai Tengah, seramai 44 mangsa terjejas banjir dipindahkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Penanti dan di Dewan Bukit Teh.

Sementara itu, di daerah Seberang Perai Selatan pula seramai 33 mangsa kini ditempatkan di PPS Dewan Sungai Bakap dan di Dewan MBPP Sanglang.

Manakala di Daerah Seberang Perai Utara pula, tiga PPS dibuka namun belum ada mangsa banjir dipindahkan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam kenyataan hari ini, MetMalaysia memaklumkan amaran yang itu berkuat kuasa sehingga Khamis ini.

Amaran itu dikeluarkan hasil analisis beberapa model cuaca dijalankan MetMalaysia terhadap penumpuan angin yang berlaku di utara Semenanjung dan barat Sabah yang dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Keadaan itu kata MetMalaysia, berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang di kawasan terbabit, serta angin kencang serta laut bergelora di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini