![](https://media.buletintv3.my/2024/11/BULETIN-TV3-N-2024-11-30T211411.740.jpg)
KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu semakin buruk apabila jumlah penduduk yang terjejas kini meningkat kepada 41,409 mangsa daripada 11, 247 keluarga malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Bencana negeri memaklumkan, semua mangsa banjir kini berlindung di 311 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah di negeri ini.
Sehingga jam 8 malam ini, katanya, daerah Besut masih mencatatkan mangsa tertinggi iaitu seramai 15,984 daripada 4,260 keluarga dan berlindung di 121 PPS.
“Jumlah mangsa banjir di daerah Hulu Terengganu adalah seramai 6,652 mangsa daripada 2,090 keluarga dan menghuni di 62 PPS.
“Seramai 6,470 mangsa daripada 1,723 keluarga berlindung di 50 PPS di daerah Setiu, manakala di daerah Dungun mencatatkan jumlah mangsa seramai 5,776 daripada 1,481 keluarga di 41 PPS,” katanya.
Sekretariat Jawatankuasa Bencana negeri turut memaklumkan, jumlah mangsa banjir yang berlindung di 14 PPS di daerah Kemaman adalah seramai 2,277 mangsa daripada 630 keluarga.
Katanya, seramai 1,214 mangsa daripada 316 keluarga daripada daerah Kuala Nerus menghuni tujuh PPS dan jumlah mangsa di daerah Kuala Terengganu adalah seramai 2,243 daripada 541 dan berlindung di lapan PPS.
“Hanya 793 mangsa daripada 206 keluarga berlindung di lapan PPS di daerah Marang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.