Tumpuan :
Nasional

Banjir: 2,405 pelajar, murid di Terengganu diberi cuti bencana

Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 2,405 pelajar dan murid daripada 109 sekolah menengah serta rendah di seluruh negeri diluluskan cuti bencana pada sesi persekolahan esok.

Pengarah Pendidikan negeri, Jelani Sulong berkata, cuti bencana kepada pelajar dan murid diberikan selepas sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) secara berperingkat sejak Jumaat lalu.

Selain pelajar dan murid, katanya,turut diberi cuti bencana adalah pengetua, guru serta Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP).

“Cuti bencana kepada pelajar, murid, pengetua dan guru serta AKP terbatal apabila sekolah dibuka semula selepas diisytiharkan penutupan PPS oleh Jawatankuasa Bencana.

“Jabatan Pendidikan negeri (JPNT) menyediakan sebanyak 113 bangunan sekolah, terutama membabitkan sekolah rendah diseluruh negeri untuk dijadikan PPS sebagai tempat berlindung mangsa banjir,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bangunan sekolah yang dijadikan PPS aktif hanya membabitkan 109 sekolah.

“Setakat ini bangunan sekolah tertinggi yang dijadikan PPS adalah di daerah Besut iaitu sebanyak 31 buah.

“Sekolah berkenaan akan dibuka secara berperingkat selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.

Ketika mengulas mengenai calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Jelani berkata, pengurusan sekolah sentiasa mengikuti perkembangan calon.

“Kita sentiasa menghubungi calon dan menasihatkan mereka supaya mengulangkaji pelajaran sepanjang cuti bencana,” katanya.

Ketika mengulas keselamatan pelajar dan murid sepanjang cuti bencana, Jelani meminta ibu bapa serta penjaga sentiasa mengawasi dan memantau anak mereka daripada bermain banjir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini