BEAUFORT: Seramai 228 orang daripada 72 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Selagon, di sini, setakat jam 8 pagi tadi.
Kesemua mangsa adalah penduduk dari lima kampung yang terjejas teruk setakat jam 8 malam tadi.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Daerah (JPBD), lima kampung terbabit ialah Suasa dengan 112 mangsa, diikuti Bakalau (97 mangsa), Bangkalalak (12 mangsa), Lago (empat mangsa) dan Berumbai (tiga mangsa).
Lokasi lain yang turut terjejas akibat banjir ialah sekitar pekan Beaufort, Jalan Kampung Lawa, Beringin, Limbawang, Jalan Kampung Bingkul, Lumatai, Balibata, Binunuk, Jempangah, Jalan Batu 60, Jalan Perumahan Kerajaan, Jalan Padas Utama dan Kampung Melulugus.
Banjir melanda kebanyakan kampung di kawasan rendah sekitar daerah ini berikutan limpahan air Sungai Padas susulan hujan lebat berterusan di kawasan hulu di zon pedalaman sejak beberapa hari lalu.
PPS Selagon diaktifkan sejak petang kelmarin selepas keadaan banjir bertambah buruk terutama di kampung sekitar kawasan DUN Lumadan.
| ARTIKEL BERKAITAN