KEMAMAN: Kira-kira 20,000 penduduk di daerah ini mengalami gangguan bekalan elektrik berikutan kawasan pencawang masuk utama (PMU) dinaiki air akibat banjir.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat, berkata kawasan terjejas adalah Kampung Paya Berenjut, Chukai hingga ke FELDA Neram serta Air Putih.
“Bekalan elektrik di kawasan terbabit terpaksa diputuskan sementara waktu berikutan banjir.
“Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan, mereka sedang berusaha membaik pulih keadaan itu. Setakat ini, kira-kira 10,000 pengguna sudah mula mendapat bekalan elektrik secara berperingkat.
“Kita berharap semua pengguna yang terbabit dapat bersabar. Penutupan bekalan elektrik ini dilakukan demi keselamatan semua pihak,” katanya.
Hanafiah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, TNB turut menempatkan generator di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang terjejas.
“PPS yang terjejas itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Geliga dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggol,”katanya.
Hujan lebat yang melanda daerah Kemaman sejak jam 11 malam tadi menyebabkan jalan utama bandar Chukai, dinaiki air.
Beberapa premis kerajaan, termasuk Hospital Kemaman serta Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman turut dinaiki air sekitar 0.2 meter.
Beliau menasihati penduduk sentiasa berwaspada dan segera berpindah ke PPS jika air mulai naik di kawasan penempatan.