TUMPAT: Sebanyak 180 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengalami kerosakan dalam gelombang pertama banjir yang melanda Kelantan hujung bulan lepas.
Pengarah KEMAS Kelantan Wan Norlee Wan Ismail berkata jumlah itu membabitkan Tabika di semua jajahan kecuali Gua Musang, dengan lebih 8,000 murid terjejas dan sebahagiannya terpaksa menjalani sesi pembelajaran secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Sebahagian Tabika telah mula beroperasi, namun di jajahan yang paling teruk terjejas iaitu Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat, sesi pembelajaran masih secara PdPR kerana tabika yang ditenggelami banjir baru sahaja boleh dimasuki beberapa hari lepas untuk kerja-kerja pembersihan, malah semua peralatan pembelajaran serta perabot rosak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Skuad Ihsan MADANI Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Sekolah Kebangsaan Teluk Jering, di sini hari ini.
Terdahulu beliau bersama 50 kakitangan Kemas Kelantan membersihkan dua bangunan tabika Kemas di kampung berkenaan yang terjejas akibat banjir.
Wan Norlee berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat lengkap berkaitan kerosakan yang dialami, sebelum menyerahkan laporan itu kepada pihak kementerian dalam masa terdekat untuk tindakan susulan.
“Banjir tahun ini agak luar biasa kerana tabika yang sebelum ini tidak terjejas banjir turut dinaiki air, malah ada yang mencecah paras bumbung. Sehubungan itu kami akan mengutarakan beberapa cadangan kepada KKDW termasuk pemilihan lokasi tabika di kawasan lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas persiapan banjir untuk gelombang seterusnya Wan Norlee berkata pihaknya telah mengeluarkan garis panduan yang perlu dipatuhi semua kakitangan tabika Kemas, termasuk memastikan peralatan pembelajaran diletakkan di tempat selamat. —BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.