JOHOR BAHRU: Sejak banjir melanda Johor kelmarin, paras air di beberapa sungai utama negeri ini dilaporkan telah mencecah paras bahaya.
Setakat jam 12 tengah hari ini, sebanyak 17 lembangan sungai utama di enam daerah terjejas banjir dilaporkan sudah mencecah paras bahaya itu.
Sumber Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor berkata, ia membabitkan enam lembangan sungai di Segamat, empat di Batu Pahat, tiga di Muar, dua di Tangkak dan masing-masing satu di Kluang dan Kota Tinggi.
“Lembangan Sungai Muar di Lubuk Kepong, Segamat adalah yang paling bahaya ketika ini apabila paras air mencecah 21.09 meter, iaitu 2.49 meter lebih tinggi berbanding paras semasa 18.6 meter.
“Ia diikuti lembangan Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar yang mencatat paras 5.39 meter, berbanding 3.3 meter paras semasa.
“Lembangan Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat turut mencecah paras bahaya 21.54 meter, iaitu 1.59 meter melepasi paras semasa 19.95 meter,” katanya dalam laporan harian situasi banjir di Johor, hari ini.
Selain itu, lembangan Sungai Endau Kampung Contoh di Kluang mencatatkan paras sungai 15.73 meter berbanding 14.5 meter paras semasa.
Sungai Segamat di bandar Segamat dilapor mencecah paras 10.29 meter, melepasi 9.14 meter paras semasa.
Lembangan sungai lain yang mencecah aras bahaya adalah Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat dan Sungai Segamat di Segamat Kecil.
Selain itu, Sungai Muar di Kampung Olak Sepam; Sungai Muar di Panchor dan Sungai Kesang di Kampung Seri Makmur serta Teluk Rimba di Tangkak.
Empat lembangan sungai di Batu Pahat yang mencecah paras bahaya adalah dua lembangan Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok dan Jalan Yong Peng; Sungai Bekok di Bandar Yong Peng dan Sungai Simpang Kiri di Sri Medan.
“Lembangan Sungai Johor di Rantau Panjang, Kota Tinggi juga direkodkan sebagai bahaya,” katanya.-BERITA HARIAN