KOTA KINABALU: Bangunan Wisma Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), di Karamunsing, di sini, bakal dikosongkan berikutan keadaan bangunannya tidak selamat kerana semakin usang dan berdepan isu keselamatan.
SESB dalam kenyataannya memaklumkan, bangunan 10 tingkat yang menempatkan ibu pejabat syarikat pembekal elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan itu mengalami keretakan dan struktur uzur.
Anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berkata, walaupun pelbagai usaha diambil untuk membaik pulih bangunan berusia 48 tahun itu, namun ia sukar diteruskan berikutan keadaannya yang semakin uzur.
“Sesuai dengan usia bangunan yang semakin meningkat, Wisma SESB tidak terlepas daripada beberapa masalah konkrit. Kelemahan bahan pembangunan dahulu yang banyak menggunakan pasir laut menyebabkan beberapa bahagian bangunan mengalami keretakan dan kelemahan struktur.
“Pelbagai usaha telah diambil untuk menangani masalah keusangan itu termasuk merancang penstrukturan dalaman yang lebih moden dan kondusif agar dapat terus berfungsi sebagai pusat inovasi dalam industri elektrik.
“Kolaborasi dengan pakar teknologi tempatan dan penyelesaian inovatif seperti penggunaan ruang yang lebih baik turut menjadi sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan bangunan ini.
“Namun, usaha menyeluruh dalam pemuliharaan struktur bangunan ini secara berkala agar ia dapat terus memberi manfaat kepada masyarakat Sabah tidak dapat diteruskan berikutan usia yang semakin uzur,” kata kenyataan itu.
SESB turut menyifatkan kekurangan ruang bagi menampung kemudahan moden dan berkualiti juga menjadi kekangan kepada usaha memperbaharui atau memodenkan bangunan berkenaan.
Berikutan itu, SESB bakal mengosongkan bangunan berkenaan dan berpindah ke pejabat baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat demi keselamatan kakitangannya dan orang ramai secara keseluruhannya.
Wisma SESB adalah antara bangunan lama di Kota Kinabalu bersama beberapa bangunan lain termasuk Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Wisma Tun Fuad, Kompleks Kuwasa, Wisma Dang Bandang dan Rumah Persekutuan.
Difahamkan pengosongan bangunan itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat bagi memberi ruang kepada kerja pembaikan dan penyelenggaraan bangunan secara makro.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.