Tumpuan :
Gaya Hidup

Bangunan tidak selamat, SESB bakal kosongkan ibu pejabat

Wisma SESB di Kota Kinabalu bakal dikosongkan kerana usang.- Foto ihsan SESB.

KOTA KINABALU: Wisma Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), di Karamunsing, di sini, bakal dikosongkan berikutan keadaan bangunannya yang dilaporkan semakin usang dan berdepan isu keselamatan.

SESB dalam kenyataannya hari ini berkata bangunan 10 tingkat yang menempatkan ibu pejabat syarikat pembekal elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan itu mengalami keretakan dan kelemahan struktur.

Anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berkata walaupun pelbagai usaha diambil untuk membaik pulih bangunan berusia 48 tahun itu, namun ia sukar diteruskan berikutan keadaannya yang semakin uzur.

SESB dalam satu kenyataan berkata antara isu itu utama yang menyumbang kepada faktor itu adalah masalah konkrit susulan penggunaan pasir laut semasa awal pembinaannya.

SESB menyifatkan kekurangan ruang bagi menampung kemudahan moden dan berkualiti turut menjadi kekangan kepada usaha memperbaharui atau memodenkan bangunan berkenaan.

Wisma SESB yang sebelum ini dikenali sebagai Bangunan BERJAYA pernah menjadi bangunan ikonik di Kota Kinabalu ketika era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) pada akhir 1970-an dan awal 1980-an.

Bangunan yang dibina pada 1976 itu pernah menjadi ibu pejabat BERJAYA yang dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1981, sekali gus menyimpan sebahagian sejarah politik Sabah.

Ia turut dilengkapi sebuah dewan dihiasi ukiran tradisional yang sering dijadikan venue untuk pelbagai acara, termasuk majlis perkahwinan selepas bangunan berkenaan diambil alih oleh SESB pada 1990-an.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini