Tumpuan :
Nasional

Bangunan tambahan Hospital Seberang Jaya siap hujung tahun – PM

FOTO: NSTP

Oleh: Selwam Arjunan

SEBERANG JAYA: Pembinaan bangunan tambahan Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang mengalami kelewatan beberapa tahun dijangka siap pada hujung tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa projek bernilai hampir setengah bilion ringgit itu dapat disiapkan pada bulan Disember depan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta untuk keperluan mendesak HSJ bagi menaiktaraf bangunan dan kemudahan sedia ada.

FOTO: NSTP

“Projek bangunan tambahan yang terlambat ini mudah-mudahan akan siap sebelum akhir tahun ini.

“Projek itu kosnya dah sampai RM500 juta, atau lebih kurang RM490 juta sekarang.

“Bagi keperluan mendesak (bangunan sedia ada) yang saya lihat di sini di mana kakitangan bekerja dan juga pesakit dalam keadaan yang sesak.

“Jadi untuk beberapa permintaan itu saya luluskan sebanyak RM1 juta termasuk untuk penambahan ventilator, tangki air dan kemudahan ‘ultra-sound.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada kakitangan dan staf yang bekerja bertungkus-lumus walaupun dalam keadaan sesak,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke HSJ hari ini.

FOTO: NSTP

Datuk Seri Anwar yang tiba kira-kira jam 1.15 tengahari itu disambut Pengarah HSJ, Dr Saiful Azlan Sharif dan kakitangan hospital berkenaan.

Beliau kemudiannya menghadiri taklimat oleh pihak hospital sebelum melawat beberapa wad dan bertanya khabar kepada pesakit.

Projek bangunan tambahan HSJ bermula pada tahun 2016 dengan peruntukan RM368 juta ringgit itu pada awalnya dijadualkan siap pada tahun 2020.

Bangunan bertingkat baharu antara lain merangkumi enam dewan bedah, 316 katil, tempat letak kenderaan serta kemudahan-kemudahan hospital yang canggih dan terkini.

Namun, ia mengalami beberapa kelewatan termasuk urusan tender terbuka.

Sementara itu, Dr Saiful berkata,  pihaknya menzahirkan penghargaan terhadap peruntukan tambahan yang diumumkan Perdana Menteri.

“Pihak HSJ menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang mendengar permintaan dan keperluan kami.

“Harapan kami agar peruntukkan ini dapat mengurangkan beban dan memberi kemudahan yang lebih selesa kepada kakitangan dan pesakit di hospital ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini