
Oleh: Fazli Ahmad
PEKAN: Bangkai paus sepanjang lebih 11 meter ditemui terdampar di Pantai Kampung Sungai Miang, dekat sini, petang semalam.
Mamalia itu dipercayai mati sejak beberapa hari lalu dan sudah berulat serta terdapat kesan giginya dipotong.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Miang, Muhammad Karim, berkata beliau dimaklumkan pemancing menemui bangkai paus itu kira-kira jam 4.45 petang semalam.

Menurutnya, bangkai itu dipercayai dihanyutkan arus ketika air pasang besar dan terdampar di pantai terbabit ketika air surut.
Katanya, penemuan bangkai itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan Pahang untuk tindakan lanjut.
“Ketika ini pegawai perikanan sedang mengambil sampel paus terbabit untuk ujian makmal.
View this post on Instagram
“Selepas ini penduduk kampung akan gotong-royong menanam bangkai itu kerana sudah busuk dan berulat.
“Sebelum ini penduduk pernah menemui bangkai paus terdampar di kawasan pantai di sini tetapi saiznya kecil sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pegawai Perikanan sudah mengambil sampel bangkai paus itu tengah hari tadi untuk ujian makmal.
Antara tujuan kajian ialah untuk mengetahui spesies haiwan itu dan lokasi asal mamalia itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.