KUALA LUMPUR: Tindakan kejam menganiaya dengan memotong keempat-empat kaki dan membelah perut dua ekor kucing mengundang kemarahan ramai selepas tular di media sosial, semalam.
Kejadian dipercayai berlaku di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, di sini dan perkongsian itu turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
Sementara itu, Kesatuan Pelajar Universiti Malaya 2024/2025 Fakulti Perniagaan dan Ekonomi berkata, pihaknya amat terkejut serta sedih dengan kes penderaan kucing yang berlaku pada 12 Disember dan 16 Disember lalu.
Menurutnya, kedua-dua bangkai kucing berkenaan ditemukan dalam keadaan mengerikan dengan anggota badan yang sengaja dicacatkan di tingkat satu H11 dan di halaman di sebelah Bangunan Azman Hashim.
Kejadian itu disifatkan bukan sekadar serangan terhadap haiwan yang tidak bersalah, malah ia adalah serangan terhadap keamanan dan belas kasihan.
“Kekejaman seperti itu tidak mempunyai tempat dalam komuniti kita, dan kita tidak akan berdiam diri sementara tindakan ini berterusan. Setiap makhluk hidup, sama ada manusia atau haiwan, berhak mendapat penghormatan dan kebaikan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan penyayang untuk semua.
“Pendirian kami jelas tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk keganasan dan penderaan terhadap mana-mana makhluk hidup,” katanya dalam kenyataan, di sini, yang turut tular di media sosial.
Katanya, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak pengurusan universiti untuk menyiasat isu berkenaan secara menyeluruh dan memastikan pihak yang bertanggungjawab diadili dengan sewajarnya.
“Kami komited melakukan segala yang kami mampu untuk mengelakkan kejadian seperti itu berlaku pada masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya meminta semua pelajar dan warga Universiti Malaya yang mempunyai maklumat menghubungi wakil pelajar Vincent Ng (013-4835446) atau Kaven Khoo (01172297839) dengan segera.
Katanya, kerjasama itu juga dapat memastikan keadilan ditegakkan dan kawasan kampus kekal sebagai tempat yang selamat serta mempunyai belas kasihan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.