comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bangkai itik hanyut di Pusat Rekreasi Lubuk Timah 

IPOH: Puluhan bangkai itik ditemui hanyut di kawasan rekreasi Lubuk Timah, Simpang Pulai, di sini, kelmarin, dengan bau meloyakan sekali gus mengundang ketidakselesaan kepada pengunjung yang tular di media sosial.

Pengguna akaun Facebook (FB) dikenali Izzat Ibrahim, berkata keadaan itu menyebabkan keadaan persekitarannya berbau busuk sekali gus membuatkan semua pengunjung yang berada di tempat kejadian ketika itu beredar.

“Busuk betul air sungai Lubuk Timah, banyak bangkai itik lalu. Pengunjung yang ada semua beredar. Ada yang baru nak bakar-bakar ayam (barbeku) pun pergi,” katanya menerusi hantaran dalam video FB mengenai keadaan itu.

Menurut keterangan itu lagi, pihaknya ada bertanya mengenainya kepada pekerja pembersihan kawasan rekreasi itu sebelum dimaklumkan itu kali pertama situasi sedemikian berlaku di situ.

Perkara itu turut disahkan menerusi dua hantaran di akaun FB Pusat Rekreasi Lubuk Timah yang mengesahkan kejadian itu berlaku kelmarin dengan menyatakan pengurus pusat rekreasi berkenaan sudah melaporkan kejadian itu ke Balai Polis Simpang Pulai.

“Aduan yang dibuat (di balai polis) sudah dipanjangkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Veterinar (Jabatan Perkhidmatan Veterinar – JPV),” katanya.

Hantaran lain di FB Pusat Rekreasi Lubuk Timah turut menyatakan susulan insiden berkenaan maka operasi pusat rekreasi itu ditutup sehari pada semalam (3 Februari), dengan difahamkan ianya adalah bagi tujuan pembersihan sungai di kawasan terbabit.

Difahamkan, perkara berkenaan masih disiasat pihak berkuasa antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JAS, dan JPV selain menyatakan pusat rekreasi berkenaan sudah kembali dibuka semula hari ini.

Kejadian itu juga mengakibatkan pengurusan pusat rekreasi yang turut menempatkan chalet penginapan itu mengalami kerugian kerana terpaksa memulangkan semula bayaran (refund), selain kurang dikunjungi pengunjung.

Pusat Rekreasi Lubuk Timah adalah satu destinasi pelancongan popular di Perak, dengan mempunyai keunikan tersendiri kerana terdapat air terjun dan kolam air panas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini