JERANTUT: Seorang nelayan terkejut apabila melihat bangkai seekor gajah hanyut di Sungai Pahang di Lubuk Penor, Kampung Besul, dekat sini, petang semalam.
Azman Yusoff, 54, berkata kejadian kira-kira jam 6 petang itu berlaku ketika dia turun ke sungai itu bersendirian dengan menaiki bot untuk menjaring ikan.
“Saya mencari rezeki dengan menjaring atau memancing di sepanjang Sungai Pahang berdekatan kawasan Kampung Besul hingga ke Kampung Pulau Mansok.
“Ketika mahu memasang jaring pada petang tadi, saya melihat ada objek terapung-apung dan menyangka ia adalah kayu hanyut.
“Saya mendekati objek itu dengan berhati-hati dan terkejut apabila mendapati ia adalah bangkai seekor gajah.
“Ketika itu, banyak batang kayu dibawa arus deras dan saya membiarkan bangkai gajah terbabit hanyut,” katanya.
Beliau berkata, gajah itu berkemungkinan tergelincir ke dalam sungai dan dibawa arus deras menyebabkannya lemas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.