JASIN: Bangkai seekor buaya tembaga betina sepanjang lebih tiga meter ditemui nelayan di jeti Umbai, di sini, hari ini.
Pengarah PERHILITAN Melaka, Petra Sulai, berkata pihaknya menerima maklumat penemuan bangkai hidupan liar itu kira-kira jam 10 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota PERHILITAN digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.
“Kami mendapati bangkai seekor buaya tembaga berada di jeti berkenaan dan hasil pemeriksaan, buaya itu dianggar sepanjang lebih 3.3 meter dengan berat antara 200 hingga 230 kilogram,” katanya.
Buaya itu dipercayai dari Sungai Kesang dan menggunakan pesisir pantai terbabit bagi mendapatkan sumber makanan serta mencari pasangan mengawan.
“Ini dipercayai kejadian pertama tahun ini dan orang ramai tidak perlu bimbang.
“Bangkai buaya ini dihantar Zoo Melaka untuk bedah siasat bagi mendapatkan punca dan tempoh ia mati,” katanya.