Tumpuan :
Nasional

Banduan Penjara Taiping dipukul, seorang maut: Polis rekod keterangan 82 individu

foto hiasan

TAIPING: Polis merekodkan keterangan 82 individu termasuk dua pegawai penjara susulan dakwaan kes puluhan banduan di Penjara Taiping dipukul dan dibelasah hingga menyebabkan seorang banduan mati.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, baki 80 lagi yang dirakam keterangan membabitkan banduan serta tahanan di penjara terbabit.

Beliau turut mengesahkan pihaknya menerima banyak laporan mengenai kejadian termasuk laporan polis pada 17 Januari lalu.

Katanya, kes itu mulanya disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan sudah dibawa ke pengetahuan Ketua Polis Negara dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, untuk siasatan lanjut.

“Yang lain-lain itu masih dalam siasatan. Banyak laporan juga yang sudah dibuat, tetapi kita akan angkat ke peringkat Bukit Aman dan siasatan telus akan terus dijalankan.

“Insya-Allah bila sudah lengkap dan gambaran situasi sebenar diperoleh, kita akan cuba keluarkan kenyataan media.

“Buat masa sekarang siasatan dijalankan daripada laporan yang mula diterima pada 17 Januari lalu dan kalau ikut kategori siasatan ia mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Perak , Zulkafli Sariaat memakaikan rompi keselamatan kepada pekerja p-hailing pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Taiping Selatan. – FOTO NSTP

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Taiping Selatan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), hari ini.

Terdahulu, sebuah pertubuhan politik mengadakan perhimpunan di perkarangan Penjara Taiping, di sini atas isu penderaan dan mencederakan banduan yang turut disertai ahli keluarga banduan terbabit.

Hari ini, lebih 50 terdiri ahli keluarga dan waris berkumpul di hadapan Penjara Taiping menuntut siasatan dan tindakan diambil pihak berkuasa.

Perhimpunan dianjurkan sebuah parti politik itu berikutan dakwaan berlakunya kekasaran oleh lebih 60 wadar penjara terhadap lebih 100 banduan tahanan hingga menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia.

Dakwaan itu juga menyarankan lebih 30 laporan polis dibuat keluarga banduan yang berkenaan, dengan keluarga mangsa juga tidak dibenarkan melawat banduan seperti jadual biasa dengan alasan diberi adalah semua banduan dikuarantin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini