ARAU: Seorang lelaki yang dalam tahanan di Pusat Koreksional Perlis, Guar Nangka, di sini meninggal dunia selepas terjatuh dalam bilik air pusat tahanan berkenaan pada Khamis lalu.
Kematian banduan berusia 23 tahun itu disahkan oleh pegawai perubatan hospital selepas lelaki itu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar semalam.
Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang kakitangan pusat tahanan berkenaan selepas satu laporan polis dibuat sekitar jam 1.37 tengah hari semalam.
“Kita dimaklumkan bahawa seorang lelaki yang ditahan reman di Pusat Koreksional Perlis meninggal dunia sekitar jam 10.20 pagi semalam semasa menerima rawatan di ICU di hospital itu dimana banduan itu ditemui dalam keadaan separa sedar oleh kakitangan pusat tahanan selepas dipercayai terjatuh dalam bilik air pusat tahanan itu.
“Berdasarkan maklumat, banduan yang berasal dari Ulu Melaka, Langkawi itu ditahan di pusat koreksional itu sejak 17 Disember lalu atas kesalahan penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dia sedang menunggu tarikh untuk dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Langkawi.
“Namun pada jam 5.45 petang pada Khamis lalu, mangsa dikejarkan ke HTF selepas dipercayai terjatuh daripada bilik air dan dalam keadaan separa sedar di pusat tahanan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan awal doktor menyatakan mangsa mengalami kecederaan pada organ dalaman iaitu bahagian hati dan sebahagian usus ketika mendapatkan rawatan.
“Pemeriksaan luaran tubuh mangsa bagaimanapun didapati tiada sebarang kesan lebam mahupun kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah namun doktor mendapati terdapat kesan luka sepanjang tiga sentimeter di bahagian atas dahi kiri kepala mangsa dipercayai akibat terjatuh di tandas.
“Dalam pemeriksaan yang sama juga, doktor mendapati tiada sebarang kesan bahawa mangsa diliwat dan proses bedah siasat akan dilakukan terhadap mangsa pada hari ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi mengetahui punca kematian serta kecederaan terhadap organ dalaman mangsa,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.