Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Seorang tahanan penjara yang sedang menjalani proses reman meninggal dunia akibat berlakunya pendarahan dalaman di kepala.
Jabatan Penjara Malaysia menerusi kenyataannya hari ini menyatakan, kematian itu berlaku ketika tahanan tersebut sedang menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 12 November lalu.
“Prospek merupakan tahanan reman berumur 32 tahun dan telah diterima masuk ke Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu atas kesalahan di bawah Seksyen 379 (KK) dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan tiada masalah kesihatan di kesan.
“Satu laporan polis telah dibuat berkaitan kes kematian tahanan reman ini oleh Pegawai Penjara bertugas,” memetik kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, penjelasan dari pihak hospital serta siasatan pegawai penjara berhubung punca kematian juga telah dimaklumkan kepada ahli keluarga tahanan dan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.
Jenazah juga telah diserahkan kepada ahli keluarga untuk proses pengebumian.
Dalam pada itu, Jabatan Penjara Malaysia juga sedia memberi kerjasama penuh terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses selanjutnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.