MELAKA: Seorang banduan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan iaitu melakukan seks oral dan meliwat rakan selnya, bulan lalu.
Tertuduh, Akhirin Jufri, 48, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman pada 10 Januari depan selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim bagi melengkapkan fakta kes itu.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Akhirin didapati melakukan seks oral terhadap banduan lelaki berusia 22 tahun dan meliwatnya secara paksa.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan serupa iaitu seks oral terhadap mangsa sama.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah sel Penjara Sungai Undang, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 12 tengah malam pada 25 November lalu.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang kini menjalani hukuman atas kesalahan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.