Tumpuan :
Nasional

Banduan maut sesak nafas di Pusat Koreksional Perlis

Foto hiasan

ARAU: Seorang banduan maut selepas mengalami sesak nafas ketika sedang makan tengah hari di Pusat Koreksional Perlis, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Deputi Superitendan Shaharruddin Abdul Talib berkata kejadian berlaku sekitar jam 1.15 tengah hari ketika mangsa, Mohd Hanafiah Abdul Samad, 42 sedang menjamu selera bagi sesi makan tengah hari di bilik tahanannya di pusat koreksional berkenaan.

“Mangsa yang sedang menikmati makan tengah harinya itu tiba-tiba mengalami sesak nafas sehingga tidak sedarkan diri dan pegawai penjara yang menyedari kejadian itu kemudian segera membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sekitar 25 minit kemudian.

Namun mangsa kemudian disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Tambah Shaharruddin lagi, mangsa adalah banduan yang berada dalam tempoh tahanan reman dari Mahkamah Langkawi, Kedah.

Mangsa ditahan di Pusat Koreksional Perlis bermula 16 Mei lalu atas kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Berdasarkan rekod kesihatan, mangsa juga didapati mempunyai sejarah penyakit Hepatitis C dan sering mengambil alat penyedut pernafasan atau ‘inhaler’ kerana sering mengalami semput serta sesak nafas,” katanya.

Shaharruddin berkata, keluarga dan waris kepada mangsa sudah pun dimaklumkan mengenai kematian mangsa namun tidak dapat hadir kerana berada di Langkawi.

Proses bedah siasat dijangka akan dijalankan esok.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Loading...
Terkini