comscore
Tumpuan :
Nasional

Banduan di Pokok Sena meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Banduan yang meninggal dunia di Penjara Pokok Sena, Kedah pada Isnin lalu (7 Oktober) disahkan sihat dan cergas (fit) selepas pemeriksaan ketat oleh pegawai perubatan penjara untuk menjalani hukuman sebat.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hukuman yang dilaksanakan terhadap banduan terbabit pada 25 September lalu mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

“Selepas menjalani hukuman, banduan tersebut juga telah dirawat dengan rapi termasuk rawatan luka (dressing) setiap hari dan dipantau kesihatan dari semasa ke semasa oleh pegawai perubatan penjara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kematian seorang banduan yang didakwa berlaku selepas menjalani hukuman sebatan.

Laporan itu mendakwa banduan tersebut mula mengalami pendarahan teruk seminggu selepas hukuman sebatan itu yang mencemaskan keluarganya terutama memandangkan dia mempunyai penyakit darah tinggi.

Mengulas lanjut, menurut Jabatan Penjara, hasil bedah siasat awal mendapati kes kematian banduan terbabit adalah disebabkan jangkitan kuman di dalam darah.

Banduan tersebut telah mengadu tidak sihat pada 4 Oktober lalu, iaitu sembilan hari setelah hukuman sebat dijalankan.

Susulan itu, pihak penjara melakukan pemeriksaan lanjut terhadap banduan melalui rawatan rapi oleh pegawai perubatan.

Banduan kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah pada 7 Oktober untuk rawatan lanjut namun telah disahkan meninggal dunia.

“Jabatan Penjara Malaysia telah memulakan siasatan dalaman bagi menyemak semula pelaksanaan hukuman adalah mengikuti SOP yang telah ditetapkan.

“Sehingga kini tiada pelanggaran SOP dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Jabatan Penjara berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur ketika melaksanakan tugas.

Pada masa sama, Jabatan Penjara mengingatkan orang awam agar tidak menyebar luas berita yang tidak sahih berkaitan kejadian kes tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini