comscore
Tumpuan :
Nasional

BAM semakin hampir umum Rosman ketua jurulatih beregu wanita

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky (kanan) bersama Rosman Razak pada perlawanan akhir Malaysia Super 100 di Stadium Juara, Bukit Kiara. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tampak semakin hampir untuk mengumumkan pelantikan ketua jurulatih beregu wanita yang baharu dalam masa terdekat ini.

Rosman Razak yang dikaitkan dengan jawatan itu dilihat hadir bersama Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menonton aksi final beregu wanita pada saingan badmiton Malaysia Super 100 di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.

Kedua-dua individu itu menyaksikan perlawanan membabitkan pasangan negara, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee yang menentang pilihan pertama dari Taiwan, Nicole Gonzales Chan-Yang Chu Yun.

Pada perlawanan itu, Mei Xing-Pei Kee mencipta kejutan apabila muncul juara menerusi kemenangan 22-20, 21-11.

Kehadiran Rosman di Stadium Juara kemungkinan besar adalah untuk menilai prestasi Mei Xing-Pei Kee sebelum dia memulakan tugasnya di ABM.

Hanya barisan pemain beregu wanita yang masih belum melalui rombakan sama ada pemain dikekalkan atau digugurkan kerana menunggu kehadiran ketua jurulatih yang baharu untuk membuat keputusan.

Rosman ketika ini membimbing beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Bagaimanapun, dia pernah berkhidmat selaku jurulatih beregu wanita kebangsaan sehingga hujung 2020.

Rosman nyata tidak asing dengan barisan pemain beregu wanita negara kerana dia adalah watak penting yang membentuk gandingan nombor satu negara ketika ini, Pearly Tan-M Thinaah.

Bekas jurulatih kebangsaan Filipina itu adalah individu yang memberi peluang kepada Thinaah untuk mencuba beraksi dalam acara beregu selepas pemain itu mendapati dirinya tidak lagi boleh pergi jauh dalam acara perseorangan pada 2019.

Berbekalkan kualiti dimiliki Thinaah, Rosman membuat pertaruhan dengan menggandingkannya dengan Pearly yang ketika itu secara kebetulan tidak mempunyai pasangan dan kini berjaya merangkul beberapa gelaran juara dan menempatkan diri dalam kelompok 10 pasangan terbaik dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini