KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap seorang pegawai tertinggi badan induk itu selepas selesai menjalankan siasatan.
Dalam satu kenyataan hari ini, BAM menyatakan komitmen untuk menerima dan melaksanakan cadangan yang dikemukakan oleh SPRM dalam usaha memperkukuhkan aspek tadbir urus persatuan berkenaan.
“Sebagai sebuah badan sukan yang dinamik dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri, BAM akan memastikan setiap cadangan yang diberikan dilaksanakan sebaik mungkin,” kata kenyataan itu.
Selain itu, BAM turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penaja yang setia bersama persatuan dan memberikan sokongan penuh meskipun menghadapi tempoh yang mencabar.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan berhubung dakwaan salah laku seorang pegawai tertinggi BAM, tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Beliau menjelaskan, justeru siasatan kes itu susulan surat layang yang diterima pihaknya, disifatkan sebagai selesai.
Pada Disember lalu, lima pegawai SPRM hadir di pejabat BAM di Kuala Lumpur untuk meneliti beberapa dokumen, termasuk minit mesyuarat, bagi tujuan siasatan.
BAM dalam satu kenyataan turut mengesahkan pegawai SPRM mengunjungi pejabat badan induk itu bagi mendapatkan maklumat tertentu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.