Tumpuan :
Nasional

“Baliklah Lily, Mama, Papa risau”

KUALA LUMPUR : “Baliklah kak Lily. Mama papa risau. Tak tahu kakak duduk mana… makan apa. Tiada siapa pun yang marahkan kakak”

Itu rintihan seorang ibu, Norhayati Bakri, 45 yang merayu anaknya, Dinna Ismalaily Suhaidi, 15 tahun atau dipanggil Lily, yang dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu supaya pulang ke rumah mereka di Kluang, Johor.

Difahamkan, kali terakhir remaja itu dilihat di sebuah stesen minyak di Renggam Jaya, Simpang Renggam.

Sejak itu, keluarganya aktif berkongsi maklumat mengenai Lily di media sosial.

Perkongsian itu turut tular, selain video TikTok dimuat naik kakak Lily, mengundang pilu masyarakat.

Menerusi video itu, dapat dilihat kesungguhan ibu bapanya yang sanggup berulang-alik dari satu bandar ke bandar lain untuk mencari anak mereka.

“Pada 31 Ogos lalu genap seminggu kau (Lily) hilangkan diri dari rumah. Masih tiada khabar berita, tiada jawapan dan petunjuk yang masih samar. Laman Simpang Renggam jadi saksi betapa gilanya mama papa cari kau tanpa ada kata putus asa sekalipun.

“Bermula pagi hingga malam, dari Kluang ke Simpang Renggam. Kami sekeluarga ulang-alik tiada arah tujuan cari kau Lily. Kami rela berpanas hujan, berlapar hanya untuk cari kau saja Lily.

“Rela lupakan mengenai kehidupan kami, semata untuk kau balik ke rumah dalam keadaan selamat. Baliklah Lily, mama papa tak pernah putus dia supaya kau balik dalam keadaan selamat,” kongsi Dliesa Irdnaa.

Dalam perkongsian lain Dliesa menunjukkan bagaimana dia bersama kedua ibu bapanya mencari Lily hanya berpandukan maklumat diberikan orang awam dengan menaiki motorsikal.

“Kami sanggup dari Kluang ke Kulai dengan hanya menaiki motosikal untuk mencari Lily. Dapat info orang awam terus gerak tanpa cakap banyak, sebab kami tidak tidak punya sebarang petunjuk.“

“Tak dapat cari di Kulai, kami patah semula ke Simpang Renggam untuk pastikan keberadaan Lily. Mama insan yang paling setia menunggu Lily pulang. Semoga Allah gerakkan hati Lily untuk balik. Kasihanlah pada mama dan papa”

“Pada malam Merdeka mama dan Papa sanggup tunggu sampai jam 4 pagi di Laman Simpang Renggam semata-mata untuk Lily. Sanggup tahan mengantuk, lapar untuk Lily,” katanya.

Menurutnya, sudah tiga laporan polis dibuat namun tiada perkembangan lanjut.

Keluarga itu berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Lily supaya menghubungi ahli keluarga di talian 019-3188075.

Loading...
Terkini