Aliran trafik di beberapa jalan raya utama dan lebuh raya sesak dan perlahan pagi ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan susulan orang ramai yang pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri terutama pergerakan keluar dari Lembah Klang.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata ke arah utara, kesesakan berlaku dari Hospital Sungai Buloh ke Bukit Beruntung, Bukit Tagar ke Tanjung Malim dan Ipoh Selatan ke Sungai Perak.
Katanya, pergerakan kenderaan juga perlahan dari Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di Bandar Dalam dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Taman Melawati ke Plaza Tol Gombak terus ke Lentang.
Selain itu, katanya trafik juga mulai perlahan di bahagian selatan seperti dari Putra Mahkota ke Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, Port Dickson menuju ke Senawang, dan juga dari Ayer Hitam ke Yong Peng.
Tambahnya, jumlah kenderaan dijangka terus meningkat di lebuh raya utama menuju ke selatan dan utara manakala lebuh raya menghala ke Pantai Timur telah mulai perlahan bermula 2 petang semalam tanpa henti hingga pagi ini.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan serta berhati-hati memandu,” katanya kepada Bernama.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. — BERNAMA