Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA NERUS: Sebuah surau atau dikenali sebagai ‘balasoh’ oleh penduduk tempatan, yang terletak berhampiran pantai Pengkalan Maras, Mengabang Telipot, di sini, berisiko roboh dan hanyut ke laut akibat hakisan pantai.
Tinjauan Buletin TV3 di surau berusia lebih 40 tahun berkenaan mendapati sebahagian tandas surau roboh akibat hakisan.
Penduduk kampung, Mazlan Abdullah, 56 tahun berkata surau yang diwakafkan oleh ayahnya dengan belanja lebih RM50,000 itu dahulunya meriah dengan aktiviti yang dihadiri lebih 100 seorang Jemaah.
Kini jemaah surau semakin berkurangan kerana bimbang dengan keselamatan setiap kali hadir untuk solat berjemaah.
Mazlan berkata jika tidak ada tindakan segera bagi menghalang hakisan terus berlaku di kawasan berkenaan, dia percaya surau berkenaan akan lenyap dihanyutkan ombak.
“Saya sedih kalau keadaan berterusan, tiada tindakan dari pihak berwajib untuk menangani masalah ini dan jemaah nak sembahyang rasa takut, dengan keadaan ombak besar yang menghempas batu dan air sehingga masuk ke dalam surau,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Razali Idris, 62 tahun, berkata masalah hakisan pantai itu sudah lama membelenggu penduduk setiap kali tiba musim Monsun Timur Laut (MTL), sejak lebih 10 tahun lalu.
Dia bimbang keselamatan jemaah yang hadir ke surau untuk solat.
“Memang kita bimbang dengan keadaan surau seperti itu, hakisan sudah terlalu hampir dengan surau dan saya bimbang jika ia runtuh ketika ada yang sedang solat,” katanya.
Selain surau, kawasan tanah perkuburan berhampiran yang menempatkan lebih 200 kubur turut terjejas akibat hakisan pantai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.