Oleh: Zahir Senapiah
MUAR: Balai Polis Panchor di daerah Muar ditutup sementara tengahari tadi kerana dinaiki air banjir.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azam Aziz, orang ramai yang ingin berurusan di balai berkenaan boleh ke balai polis berhampiran.
“Terkesan dengan banjir, Balai Polis Panchor ditutup sementara. Sebarang urusan melibatkan laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai berhampiran” katanya.
Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), amaran hujan berterusan bagi daerah Muar akan berlarutan hingga 4 Mac 2023.
Sehingga petang ini, sebanyak 19 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi seluruh daerah Muar.
Seramai 3,278 orang membabitkan 952 keluarga telah dipindahkan PPS terbabit.
Turut dinaiki air Masjid Jamek An-Nur Kampung Jawa, Lenga.
Tujuh jalan turut ditutup membabitkan Jalan Muar – Labis (Speedmart Lenga), Jalan Muar – Labis (Kg Jawa) Jalan Muar – Labis (Jambatan Sungai Tui), Jalan Tekam Pagoh (Kebun Kelapa Sawit), Jalan Durian Chondong (Jambatan Sungai Muar), Jalan Renchong – Gombang ( Sungai Menchil) dan Jalan Kg Liang Batu (Masjid Kg Liang Batu).
ACP Raiz Mukhliz berkata, polis melakukan rondaan berkala di kawasan terjejas banjir bagi memastikan keselamatan harta benda dalam keadaan selamat.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya peka dengan keadaan cuaca dan tidak mengambil risiko untuk melalui jalan yang telah dinaiki air.