Tumpuan :
Nasional

Bakul makanan ringankan beban 9,000 nelayan hadapi Monsun Timur Laut

Muhammad Faiz (dua dari kanan) mengagih bakul makanan kepada nelayan di Bunut Rendang. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Peruntukan RM250,000 berupa bakul makanan bagi membantu kira-kira 9,000 nelayan Zon A di Pantai Timur yang tidak dapat ke laut pada Monsun Timur Laut kali ini telah disediakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, bantuan berupa keperluan asas itu bagi meringankan beban nelayan yang kehilangan sumber pendapatan dalam tempoh panjang.

Menurutnya, kerjasama Persatuan Nelayan (PN) dapat melancarkan lagi proses agihan bakul makanan apabila Monsun Timur Laut mula berlaku dan nelayan Zon A benar-benar tidak dapat turun ke laut untuk mencari rezeki.

Katanya, LKIM simpati dengan nasib nelayan Zon A atau nelayan pantai yang tidak tidak dapat turun ke laut setiap kali tiba MTL, justeru bantuan bakul makanan diperkenalkan khusus untuk nelayan di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Nelayan Zon A telah menerima bantuan sara hidup RM300 setiap bulan, bakul makanan yang diterima diharap dapat meringankan beban mereka yang bergantung sepenuhnya pada pendapatan dengan hasil laut.

“Saya difahamkan Persatuan Nelayan di Pantai Timur turut menghulurkan bantuan keperluan asas kepada ahli mereka setiap kali Monsun Timur Laut berlaku sebagai tanda prihatin terhadap ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rahmah Mesra Madani Libat Urus Bersama Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Pahang serta Pemberian Bantuan Kepada Nelayan di perkarangan surau perumahan nelayan Bunut Rendang, semalam.

Pada program berkenaan seramai 72 nelayan Zon A menerima bantuan peralatan menangkap ikan seperti pukat, tong ikan, timah, pelampung dan dua unit enjin sangkut termasuk bakul makanan.

Muhammad Faiz berkata, nelayan Zon A diingatkan sentiasa berhati-hati sepanjang Monsun Timur Laut dan dinasihatkan tidak turun ke laut terutama apabila angin kencang berlaku yang menyebabkan laut bergelora.

Katanya, nelayan perlu sentiasa mendapatkan maklumat semasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sekiranya ingin ke laut, berlindung di kawasan pulau sekiranya ribut berlaku ditengah laut.

“Setiap bot perlu dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan yang dapat digunakan ketika berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Monsun Timur Laut dijangka berlaku pertengahan bulan November hingga Mac, dalam tempoh berkenaan nelayan Zon A dinasihatkan tidak turun ke laut. Masa berkenaan boleh digunakan untuk membaiki bot dan pukat selain aktiviti yang mampu menjana pendapatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan bekalan ikan pada Monsun Timur Laut kali ini tidak akan terjejas kerana bekalan bahan mentah itu kini mencukupi.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini