MUAR: Dua lelaki masing-masing yang bakal melangsungkan pertunangan Sabtu ini dan berkahwin Mei depan, antara enam individu dihadapkan ke Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini atas tuduhan amang seksual secara bergilir-gilir terhadap remaja perempuan, di Tangkak, lima tahun lalu.
Mereka ialah Muhammad Amirul Aiman Sahrrol, 20; Muhammad Azizi Shamsor Kamar, 23, dan kembarnya, Muhammad Azizan, 23; Muhammad Asraf Rosli, 23; Hafsyal Sufian Kamaluddin, 23, dan Muhammad Hafize Abd Rahim.
RINGKAS AI
- 2 bakal pengantin antara didakwa kes amang seksual
Dua bakal pengantin didakwa di Mahkamah Seksyen Muar atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan 16 tahun.- Mangsa dicabul di rumah kenalan
Menurut laporan, mangsa sedang berehat di bilik tingkat atas rumah kenalan lelaki itu, sebelum dicabul secara bergilir-gilir oleh kedua-dua lelaki itu.- Mangsa diselamatkan jiran
Mangsa menangis dan menjerit akibat perbuatan itu, sebelum diselamatkan jiran, yang kemudiannya menghubungi pihak polis.
Namun, semua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah Tangkak, antara jam 1.30 hingga 2 pagi, 20 Januari 2019.
Justeru, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan laporan dibuat, mangsa ketika itu bertandang ke rumah seorang daripada kenalan lelaki itu sebelum berehat dalam bilik tingkat atas rumah.
Ketika itu, terdapat sembilan lelaki di rumah terbabit dan mereka secara berdua-dua naik ke tingkat atas sebelum melakukan perkara itu.
Bagaimanapun, mangsa tidak tahan dengan perbuatan mereka bertindak menangis dan menjerit hingga didengari jirannya.
Jiran kemudian keluar rumah sebelum dimaklumkan mangsa dia dicabul tertuduh. Susulan itu, jiran menghubungi polis sebelum kesemua tertuduh ditahan bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya, Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 terhadap setiap tertuduh serta memohon mahkamah menetapkan dua syarat tambahan.
Selepas mendengar rayuan dan hujahan, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu mangsa ataupun saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes disebut semula 27 Januari ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam semua tertuduh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.