KOTA TINGGI: Bakal pengantin perempuan maut, manakala dua adiknya cedera dalam kemalangan membabitkan Perodua Myvi dan sebuah lori Hino di Kilometer 52 Jalan Johor Bahhru-Mersing, petang tadi.
Kemalangan menyebabkan mangsa yang juga pemandu, Siti Nabila Rudin, 22, maut di lokasi kejadian manakala dua adiknya mengalami cedera.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kemalangan terbabit dari orang awam lebih kurang jam 4 petang.
“Kemalangan melibatkan Perodua Myvi yang dipandu mangsa bersama penumpang iaitu adiknya seorang lelaki berusia 14 tahun dan seorang perempuan berusia 22 tahun.
“Dalam kemalangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan jenis perodua Myvi dipercayai cuba untuk memotong kenderaan di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan lori jenis Hino,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yusof, mangsa bersama adik-beradiknya difahamkan dalam perjalanan pulang dari Kota Masai ke Tanah Merah, Kelantan.
“Mangsa dipercayai melangsungkan perkahwinan di Kelantan.
“Mayat mangsa dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
“Manakala kesemua mangsa yang cedera telah dirujuk ke hospital sama bagi rawatan lanjut.
“Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.