KUALA LUMPUR: Semua bakal haji wajib memuat turun aplikasi Saudi Visa Bio pada telefon pintar masing-masing menerusi Google Play store atau Apple app store.
Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), ia susulan langkah Kerajaan Arab Saudi menguatkuasakan penggunaan aplikasi itu bagi tujuan permohonan visa haji ke Arab Saudi tahun ini.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata langkah muat turun aplikasi berkenaan merangkumi empat proses mudah iaitu:
i. Melengkapkan alamat e-mel
ii. Memuatnaik imbasan muka surat butiran peribadi dalam pasport Malaysia
iii. Imbasan muka
iv. Imbasan 10 jari (biometrik)
“Bakal haji akan menerima emel pengesahan pendaftaran daripada Kementerian Luar Arab Saudi apabila maklumat peribadi telah berjaya dimuat naik ke dalam aplikasi tersebut melalui emel yang didaftarkan.
Bakal haji juga diingatkan untuk terus menyerahkan pasport mereka kepada TH setelah mendapat pengesahan ini bagi TH memproses visa haji bakal haji berkenaan”, katanya.
Aplikasi Saudi Visa Bio adalah inovasi baharu yang diperkenalkan Kerajaan Arab Saudi pada musim haji tahun ini, bertujuan memudahkan permohonan visa selain memendekkan tempoh prosedur kemasukan bakal haji ke Tanah Suci melalui Jeddah dan Madinah.
Malaysia antara lapan negara terawal di dunia selain Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Kuwait, United Kingdom, Tunisia dan Maghribi dipilih untuk projek perintis ini .
Ia mengambil kira reputasi Malaysia sebagai antara pengendali haji terbaik dunia yang telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan kemudahan dari kerajaan Arab Saudi.
Untuk maklumat lanjut mengenai penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio ini sila layari laman web rasmi www.tabunghaji.gov.my atau Media Sosial Rasmi TH.