Tumpuan :
Nasional

Bajet 2023 Tumpu Segenap Peringkat Keluarga Malaysia

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang membawa pendekatan responsif, bertanggungjawab dan reformis, memberi tumpuan kepada setiap peringkat Keluarga Malaysia, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, bajet itu yang sesuai dengan tema Keluarga Malaysia Makmur Bersama, memperuntukkan kepada setiap kumpulan, sama ada B40, M40, golongan belia, wanita mahupun orang kelainan upaya (OKU).

“Sesuai dengan temanya, bajet ini menumpukan kepada seluruh Keluarga Malaysia. Peruntukan yang diberikan berdasarkan setiap kumpulan yang saya sebutkan tadi.

“Malah, bajet ini merangkumi dari segi pembangunan luar bandar, bandar dan sebagainya,” katanya ketika ditemui sebaik selesai pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat,hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, membentangkan Bajet 2023 dengan sasaran memperkukuh momentum pemulihan ekonomi, memperkukuh daya tahan ekonomi dan melaksanakan pembaharuan menyeluruh.

Bajet dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM372.3 bilion itu adalah bagi memberi jaminan untuk kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan kemakmuran ekonomi serta kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Bajet 2023 turut memberi tumpuan persediaan negara berdepan ketidaktentuan ekonomi.

“Bajet ini juga menumpukan pada pemulihan ekonomi dan bagi kita membuat persediaan menghadapi keadaan ekonomi yang agak tidak menentu pada tahun depan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini