Tumpuan :
Nasional

Bajet 2023: Syor Pengerang Diberi Status Khas Hab Petrokimia Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan Pengerang, Johor, diberikan status khas bagi mengembangkan kawasan itu sebagai hab petrokimia negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata insentif itu diberikan bagi menarik pelaburan dalam industri kimia dan petrokimia.

Katanya, PETRONAS turut melabur lebih RM125 bilion (AS$27 bilion) bagi membangunkan Kompleks Petroleum Pengerang sebagai fasiliti petrokimia terbesar di rantau ini.

“Bagi menyokong hasrat ini, kemudahan jaringan lebuh raya ke Pengerang akan ditambah baik melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 hari ini.

Sebagai langkah tambahan, kerajaan turut bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Senai Utara-Pandan, Johor Bahru daripada empat kepada enam lorong membabitkan kos RM510 juta. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini