comscore
Tumpuan :
Nasional

Bajet 2023: RM36 Juta Diperuntukkan Bagi Program Perlindungan Harimau, Gajah Dan Spesies Liar

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM36 juta bagi program perlindungan harimau, gajah dan spesies liar lain bertujuan memastikan hidupan liar serta habitat hutan terus terpelihara.

Seterusnya dengan meningkatkan peruntukan kepada RM39 juta, bilangan renjer komuniti yang mengawal biodiversiti kawasan hutan akan ditingkatkan daripada 800 kepada 1,000 renjer yang digajikan daripada kalangan komuniti tempatan, khususnya Orang Asli dan veteran.

Bagi memperbaiki, membersih serta merawat sungai di seluruh negara pula, kerajaan memperuntukkan RM216 juta bagi pelaksanaan projek pemuliharaan, antaranya di Muara Sungai Merang, Terengganu, dan Muara Sungai Perak, Perak.

Kawasan perlindungan menyimpan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai dan sekiranya tidak dipelihara, akan menjejaskan ekosistem alam serta agenda pembangunan mampan.

Sehubungan itu, kerajaan juga akan terus mempergiat projek restorasi hutan bagi menanam anak-anak pokok, termasuk di kawasan Hutan Simpan Wilayah Perhutanan Sandakan, Sabah.

Malah hasil keringat 7,000 peserta berdaftar, lebih 46 juta pokok daripada lebih 1,300 spesies telah berjaya ditanam bawah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok menjelang 2025.

Meskipun ia adalah perkembangan baik, aktiviti yang memberi impak kepada khazanah alam perlu segera dikawal, termasuk pembalakan haram dan pembalakan besar-besaran serta penjualan hidupan yang dilindungi meliputi telur penyu.

Justeru bagi menyokong usaha kerajaan negeri mengurus serta meningkatkan keluasan kawasan perlindungan flora dan fauna, kerajaan akan meningkatkan peruntukan ‘Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation’ (EFT) kepada RM100 juta setahun, iaitu penambahan sebanyak RM30 juta. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini