comscore
Tumpuan :
Nasional

Bajet 2023: RM15 Bilion Peruntukan Rancangan Tebatan Banjir Seluruh Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) hingga 2030 sebagai strategi jangka panjang menghadapi perubahan iklim di seluruh negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata tahun depan, sebahagian besar projek akan dianugerahkan dengan anggaran perbelanjaan RM700 juta di bawah RTB.

“Antara projek utama yang digerakkan adalah pelaksanaan projek Empangan Sabo bernilai RM562 juta di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah.

“Selain itu, pembinaan kolam takungan dwifungsi bernilai hampir RM2 bilion membabitkan jajaran di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau, Selangor sebagai strategi serampang dua mata mengatasi masalah banjir dan sebagai sumber penyimpanan bekalan air mentah,” katanya.

Ketika membentangkan Bajet 2023, hari ini, Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM500 juta juga diperuntukkan bagi projek fasa tambahan Lembangan Sungai Bersepadu di Sungai Golok, Kelantan.

Selain itu, katanya, kerajaan akan melaksanakan projek naik taraf sistem ramalan cuaca bagi memperkasa ramalan dan amaran banjir di peringkat nasional. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini