KUALA LUMPUR: Majikan yang menggajikan bekas banduan dan bekas penghuni Sekolah Henry Gurney akan diberikan potongan cukai tambahan mulai tahun hadapan.
Potongan cukai tambahan juga akan dibeirkan kepada majikan menggajikan bekas penghuni institusi perlindungan dan pemulihan kerajaan serta pusat jagaan bukan kerajaan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain insentif berkenaan, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM10 juta di bawah inisiatif Agropenjara bagi memperluas aktiviti pertanian dan perladangan membabitkan 70 hektar tanah Jabatan Penjara, tahun hadapan.
Ia bertujuan memperkasa golongan banduan agar mereka mempunyai peluang bekerja dalam pelbagai bidang yang dikendali jabatan itu.
Peruntukan itu antara lain untuk meluaskan penternakan lebah kelulut di Penjara Prabebas Dusun Dato’ Murad Melaka. Ia juga untuk meningkatkan bekalan ikan air tawar segar di Pusat Koreksional Kamunting Perak. -BERITA HARIAN