comscore
Tumpuan :
Nasional

Bajet 2023: Pengecualian Cukai, Insentif Tingkat Guna Tenaga Bersih

KUALA LUMPUR: Pakar tenaga bersih mencadangkan kerajaan mengecualikan duti import ke atas panel solar dan penyongsang dalam Bajet 2023 berikutan pemasangan solar amat bergantung kepada kedua-duanya.

Ini akan menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu (RE) dan mendorong Malaysia ke arah mencapai matlamat sifar bersih menjelang 2050, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Kumpulan Plus Xnergy, Ko Chuan Zhen.

Beliau berkata import barangan bercukai tertakluk kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus dan ini dipindahkan kepada pengguna, yang akhirnya menyumbang kepada kos pendahuluan.

“Di bawah pentadbiran Joe Biden, Amerika Syarikat telah mengecualikan cukai ke atas import panel solar dari Kemboja, Thailand, Vietnam dan Malaysia sehingga dua tahun,” katanya.

Penggantungan selama dua tahun ini bertujuan untuk memastikan akses kepada bekalan sumber yang mencukupi untuk memenuhi permintaan kepada penjanaan tenaga.

Beliau berkata pengecualian cukai jualan AS dijangka memberi potensi kepada penggiat solar AS alasan untuk mengguna pakai komponen bagi memacu pertumbuhan.

“Malaysia juga boleh mencontohi ini untuk terus memacu industri RE,” katanya.

Solarvest Holdings Bhd juga mahu kerajaan memperkenalkan subsidi kewangan untuk menggalakkan penggunaan sistem storan tenaga bateri (BESS).

Ini boleh dalam bentuk SST, duti import dan eksais atau insentif cukai seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE), menurut syarikat penyelesaian tenaga solar itu.

GITA ialah elaun ke atas perbelanjaan modal untuk tujuan aktiviti hijau yang layak. Elaun ini boleh diimbangi dengan 70 peratus daripada pendapatan berkanun pada tahun taksiran dengan elaun yang tidak digunakan dibawa ke hadapan sehingga ia diserap sepenuhnya.

GITE adalah pengecualian cukai sebanyak 70 peratus untuk penyedia perkhidmatan hijau bagi perkhidmatan yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata ini akan membolehkan pengeluar tenaga mengguna pakai BESS untuk mengatasi isu semasa.

Beliau berkata insentif cukai seperti GITA dan GITE juga perlu diberikan kepada pemaju hartanah untuk menyepadukan panel fotovoltaik solar (PV) dalam projek perumahan.

“Penglibatan pemaju hartanah akan memacu penggunaan solar dalam skala yang luas dalam sektor kediaman,” katanya.

Dalam nada yang sama, Ko mahu kerajaan melanjutkan GITA dan GITE selepas tahun 2023 untuk membolehkan perniagaan menikmati pusingan kedua elaun cukai untuk pemasangan fasa kedua.

“Perniagaan yang merancang untuk memasang sistem fotovoltaik solar selepas 2023 juga akan mendapat manfaat. Kami juga ingin mendapatkan peningkatan dalam had GITE daripada 30 megawatt (MW) kepada 80MW bagi setiap syarikat dan menambah bilangan syarikat yang diberikan GITE,” katanya.

Skim pemeteran tenaga bersih (NEM) 3.0 Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) telah menyaksikan kadar pengambilan daripada segmen perniagaan dan kediaman seperti pemilik rumah dan Plus Xnergy mahu insentif dikekalkan.

Beliau berkata kadar eksport Net Offset Virtual Aggregation (NOVA) NEM bagi bangunan komersial dan perindustrian tidak begitu menarik jika dibandingkan dengan nisbah 1:1 yang ditawarkan NEM Gomen dan NEM Rakyat.

“Langkah yang baik untuk memperuntukkan nisbah 1:1 atau lebih untuk menggalakkan penggunaan solar dalam kalangan pengeluar.

“Setakat ini, sebahagian besar kuota mereka telah diambil, memberi petunjuk bahawa wujud minat daripada segmen perniagaan dan kediaman. Kami berminat untuk membantu kedua-dua segmen menikmati penjimatan tenaga dan rebat menarik daripada skim ini,” katanya.

Buat masa ini, di bawah setiap perjanjian pembelian kuasa (PPA), sekiranya pelabur mempunyai beberapa syarikat, hanya satu syarikat akan diberikan GITE berdasarkan syarat tertentu.

Solarvest dan Plus Xnergy turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan insentif untuk memacu pasaran PV solar kediaman.

Beliau berkata walaupun usaha terbaik untuk melaksanakan program pembiayaan ‘bayaran pendahuluan sifar’ untuk pemasang fotovoltaik solar, kos keseluruhan mungkin masih menjadi penghalang kepada banyak pihak.

“Kami mencadangkan pelepasan cukai pendapatan peribadi untuk pemasangan sistem fotovoltaik solar sehingga RM50,000 daripada jumlah perbelanjaan, dibahagikan kepada RM10,000 setiap tahun dalam tempoh maksimum lima tahun, pinjaman tanpa faedah kepada kumpulan B40 dan pinjaman subsidi faedah untuk kumpulan M40.

“Ini untuk menggalakkan kadar penyertaan lebih tinggi dalam Program Rakyat MEB dan insentif cukai seperti GITA/GITE atau seumpamanya bagi pemaju hartanah yang membina pembangunan dilengkapi solar,” katanya.

Katanya, berkata syarikat meningkatkan penggunaan solar kediaman dengan skim solar sewa untuk dimiliki yang pertama di Malaysia dengan kadar bayaran balik bulanan bermula daripada RM398 bersama dengan pelan pembayaran balik lima tahun.

“Skim ini mengurangkan bil elektrik bulanan isi rumah sehingga 90 peratus. Pelepasan cukai atau rebat akan membantu meningkatkan kadar penggunaan solar,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini