KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan MySTEP dengan menawarkan 50,000 peluang kerjaya secara kontrak merangkumi 15,000 dalam sektor awam dan 35,000 melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Tempoh perkhidmatan MySTEP sektor awam juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023.
Selain itu, gaji MySTEP akan dinaikkan sebanyak RM100 iaitu antara RM1,500 hingga RM2,100, berbanding RM1,400 hingga RM2,000.
Dalam perkembangan itu, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) akan menyediakan sejumlah RM750 juta untuk memberi latihan kemahiran kepada lebih 800,000 pekerja bagi meningkatkan produktiviti dan peluang pendapatan.
Dalam usaha melahirkan bakat baharu, Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama Dana Pembangunan Pasaran Modal akan menubuhkan Dana Inovasi Digital (DIGID) membabitkan RM30 juta bagi meningkatkan kebolehpasaran 9,000 graduan dalam pasaran modal.
Sebanyak RM20 juta pula disediakan bagi melaksanakan Program Usahawan Siswazah (PUSh) untuk memanfaat 1,000 graduan menceburi bidang keusahawanan. -BERITA HARIAN