Tumpuan :
Nasional

Bajet 2023 Bersifat Berani Dan Mengutamakan Kebajikan Rakyat

Oleh: Kumaran Rajamoney

FOTO: Muhammad Sanusi Md Nor/Facebook

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah menyambut baik intipati pembentangan Bajet 2023, yang menumpukan kepada projek pembangunan di negeri itu, selain bersifat berani dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan RM25 juta bagi pembangunan lalu lintas digital dan pusat data alternatif di Special Border Economic Zone (SBEZ) Bukit Kayu Hitam (SBEZ-BKH) dapat memacu pembangunan yang lebih pesat.

Ini kerana SBEZ-BKH amat strategik untuk dibangunkan sebagai hab industri dan logistik di sempadan selain kedudukannya di tengah-tengah kawasan IMT-GT (Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle).

“Kita juga mengalu-alukan pengumuman peruntukan YB Menteri Kewangan untuk pembangunan empat bandar sempadan termasuk Bukit Kayu Hitam.

Adalah diharapkan untuk Kementerian Kewangan dapat memberikan penjelasan detail mengenai projek itu, apa bentuk pembangunan untuk Bukit Kayu Hitam bagi tahun 2023.”

“Kita juga mahu tahu berapa tahun tempoh keseluruhan projek itu akan dibangunkan dan berapa jumlah peruntukan yang sebenar agar ia mudah untuk diselaraskan dengan perancangan Kerajaan Negeri di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Sanusi juga berharap kerajaan dapat menjelaskan belanja pembangunan berjumlah RM95 billion yang dapat dimanfaatkan enam negeri kurang membangunan, dan dijanjikan tumpuan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Menurut Perdana Menteri, sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas Persekutuan akan diagihkan ke negeri-negeri ini.

Daripada pembentangan Bajet 2023, selain Sabah yang mendapat peruntukan pembangunan RM6.3 bilion dan Sarawak (RM5.4 bilion), fokus kepada empat lagi negeri yang berkenaan tidak pula dijelaskan.

Saya mohon pencerahan, adakah dasar itu masih diteruskan? ”

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi meminta penjelasan mengenai peruntukan pampasan atau dana khas pemuliharaan dan pengekalan Hutan Simpan Ulu Muda yang dipohon negeri itu.

“Permohonan dana khas atau pampasan ini sudah pun dihantar kepada Kerajaan Persekutuan atas kepentingan untuk memastikan keadilan kepada 2.2 juta rakyat Kedah yang selama ini telah berkorban mengekalkan kawasan hutan yang seluas 163,000 hektar itu.”

“Hutan Simpan Ulu Muda perlu dikekalkan atas kedudukannya sebagai kawasan tadahan yang menjadi sumber air bukan sahaja untuk Negeri Kedah tetapi juga Pulau Pinang dan Perlis. Selain keperluan harian bekalan air untuk rakyat Kedah dan Pulau Pinang, ia juga berfungsi sebagai sumber pengairan sawah padi di tiga negeri berkenaan. ”

Sebagai negeri pembekal utama beras negara yang menyumbang 43% daripada keperluan nasional, Kedah katanya perlu mengekalkan kawasan sawah padi di negeri ini atas dasar tanggungjawab.

Ini menjadikan negeri itu tidak dapat menikmati pulangan yang jauh lebih tinggi daripada cukai tanah dan bayaran premium jika menebus guna dan menukar status tanah pertanian (sawah padi) kepada industri.

Justeru, pengorbanan besar oleh rakyat dan Kerajaan Kedah itu katanya perlu dihargai menerusi pampasan yang sewajarnya.

Loading...
Terkini