Tumpuan :
Nasional

Baiki segera jalan rosak

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah 

DUNGUN: Penduduk di Hulu Dungun, Terengganu di sini, memohon pihak berwajib agar dapat menyelesaikan segera isu jalan rosak yang banyak memberikan kesulitan kepada penduduk.

Isu yang berlarutan sejak setahun lalu sehingga kini dilihat tiada jalan penyelesaiannya dan keadaan dilihat semakin teruk sehingga menimbulkan kesukaran kepada penduduk di sembilan buah kampung di kawasan tersebut.

Menurut penduduk , laluan sepanjang sepuluh kilometer itu rosak disebabkan oleh kehadiran lori mengangkut bijih besi yang menggunakan laluan tersebut sebagai laluan alternatif mereka.

Dakwa penduduk pihak pengurusan perlombongan hanya menabur batu kerikil di jalan yang rosak dan tidak membuat turapan sehingga ianya menjadi rosak setiap kali waktu hujan.

Keadaan tersebut turut menimbulkan bahaya kepada penduduk di mana banyak kenderaan mengalami kerosakan dan juga sering berlaku kemalangan.

Mat Zaid Abdullah, 53, berkata, setiap hari boleh dikatakan laluan tersebut sesak dengan kehadiran lori mengangkut bijih besi.

Menurut Mat Zaid, apabila laluan rosak, pemilik syarikat perlombongan seolah – olah lepas tangan dan tidak membaiki laluan yang rosak.

“Sekarang kami yang tanggung derita, pihak berkaitan lepas tangan, banyak kenderaan rosak disebabkan oleh keadaan tersebut,

“Kemalangan banyak terjadi disebabkan oleh laluan yang tak rata namun penduduk tiada pilihan kerana ianya merupakan laluan utama,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zainab Tahar, 59, berkata keadaan menjadi lebih berbahaya pada waktu malam disebabkan oleh laluan yang gelap.

“Banyak dah kemalangan terutamanya motosikal disebabkan kawasan di situ gelap dan tambahan pula banyak binatang seperti lembu dan kerbau berada di atas jalan pada waktu malam.

“Kami berharap masalah ini di atasi segera, takkan bila ada nyawa dah hilang baru nak ambil tindakan?,” katanya.

Penduduk berkata, mereka sudah beberapa kali mengajukan permasalahan tersebut kepada pihak berkaitan dan sehingga kini masih tiada jawapan dan tindakan dari pihak berwajib.

Sementara itu, Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi berkata kelewatan kerja – kerja pembaikan adalah disebabkan oleh ketiadan peruntukan dan pihaknya kini sedang berbincang dengan pihak berkaitan untuk mempercepatkan kerja pembaikan jalan tersebut.

Loading...
Terkini