Tumpuan :
Nasional

Baik pulih kerosakan bangunan merah perlu ikut SOP UNESCO

Street Kitchen di Bangunan Stadthuys, Jalan Laksamana Banda Hilir.

MELAKA: Kerja baik pulih premis niaga Street Kitchen di Bangunan Stadthuys, Jalan Laksamana Banda Hilir, di sini yang mengalami kerosakan Rabu lalu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya seperti bangunan lain.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, ini kerana bangunan terbabit adalah antara bangunan bersejarah yang dipelihara serta dilindungi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Justeru, beliau berkata, sebarang kerja baik pulih atau tindakan lain ke atas bangunan berusia ratusan tahun itu perlu dilakukan mengikut ketetapan UNESCO selain mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Warisan Negara serta beberapa agensi lain terlebih dahulu sebelum memulakannya.

“Difahamkan, simen yang akan digunakan untuk membaiki kerosakan di bangunan terbabit mempunyai bancuhan khas yang ditetapkan, bukannya kita boleh bancuh sesuka hati seperti hendak baiki bangunan atau rumah sendiri, sebaliknya mempunyai kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) yang kita kena patuhi bagi mengekalkan struktur bangunan yang sudah diiktiraf oleh UNESCO, sama seperti pembinaan asalnya dahulu.

“Serentak itu, MBMB sudah menghantar permohonan kepada Jabatan Warisan Negara untuk membaik pulih bangunan itu serta menunggu kelulusan termasuk kajian kerosakan yang akan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini rasuk kayu di satu premis niaga di bangunan merah berkenaan runtuh dipercayai berlaku ekoran gegaran disebabkan kapasiti kenderaan yang banyak melalui jalan terbabit khususnya pada hujung minggu dan cuti panjang.

Susulan itu, MBMB mengambil tindakan melaporkan perkara itu kepada Jabatan Warisan Negara untuk dipanjang kepada pihak UNESCO.

Dalam pada itu, Shadan berkata, setakat ini hanya premis Street Kitchen yang terjejas dengan kejadian itu, manakala beberapa premis lain di bangunan sekitar Jalan Laksamana masih berada dalam keadaan baik.

Katanya, siasatan awal mendapati kerosakan berpunca daripada gegaran berikutan antara 27,000 hingga 30,000 kenderaan melalui jalan itu pada setiap hujung minggu dan cuti umum.

“Kami dapat membuat kesimpulan bahawa gegaran berpunca daripada laluan kenderaan itu menjadi penyebab struktur bahagian hadapan premis berkenaan retak dan kayu rasuknya roboh,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini