Tumpuan :
Nasional

Bahu tertusuk besi selepas terjatuh dari pelantar

Mangsa yang parah tertusuk besi di bahu diturunkan anggota bomba sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun.- Foto: JBPM

DUNGUN: Seorang lelaki cedera parah tertusuk besi di bahu kanannya selepas terjatuh dari sebuah pelantar ketika sedang memotong besi di kawasan Perindustrian Paka, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 petang, mangsa yang berusia 34 tahun itu terpaksa diturunkan anggota bomba selepas tergantung pada ketinggian 84 meter.

Sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakannya dikatakan sedang melakukan kerja-kerja memotong besi di tingkat tujuh sebuah stesen janakuasa yang telah ditamatkan operasinya.

Ketika sedang melakukan kerja terbabit, mangsa dikatakan tersandung sebatang besi sebelum terjatuh.

Bagaimanapun mangsa tidak jatuh ke tanah berikutan dia memakai abah-abah keselamatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd Rizuan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.51 petang.

“Mangsa dapat dibawa turun dari pelantar jam 6.10 petang dan kami segera membalut luka pada bahu mangsa bagi menghentikan pendarahan.

“Pasukan perubatan dipanggil ke tempat kejadian sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini