Oleh: Nini Shahira Anuar
PETALING JAYA: Ikan bandaraya merupakan ikan asing yang dibawa masuk ke Malaysia dari Amerika Selatan sebagai ikan hiasan.
Kebanyakan pemilik ikan bandaraya akan melepaskan ikan tersebut ke dalam sungai kerana ia cepat membesar di dalam akuarium.
Namun pelepasannya ke perairan umum menyebabkan ikan ini membiak dengan cepat sekaligus menyebabkan gangguan ekosistem sungai kerana tiada pemangsa dan akan berlakunya persaingan makanan dan habitat dengan ikan tempatan.
Pensyarah Kanan Bidang Ekologi dan Penyakit Ikan, Jabatan Biologi Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohammad Noor Amal Azmai berkata, terdapat beberapa spesies ikan bandaraya ini.
“Spesies yang direkodkan di sungai sekitar Lembah Klang, antaranya Pterygoplichthys disjunctivus, Pterygoplichthys pardalis dan Hypostomus plecostomus.
“Ikan ini ada jantan dan betina. Spesies ini membiak dan menyebabkan jumlahnya menjadi terlalu banyak tanpa kawalan seterusnya membolehkan spesis ini menakluki sungai.”
Tambahnya, selain ikan bandaraya, ikan asing lain yang selalu dijumpai seperti tilapia hitam, tilapia merah, keli Afrika, patin Siam dan baung ekor merah juga mampu menjejaskan ekosistem sungai.
“Tilapia dan keli sifat mereka cepat membesar, cepat membiak dan dapat hidup di kawasan air kotor. Patin Siam juga banyak digunakan di kolam memancing dan terlepas semasa musim banjir. Baung ekor merah pula mempunyai sifat agresif dan memakan pelbagai jenis makanan termasuk anak ikan dan sangat berbahaya sekiranya terlepas ke sungai.”
Kajian terbaharu yang dijalankan UPM mendapati ikan bandaraya juga telah dijumpai di dalam kawasan hutan simpan yang boleh menyebabkan masalah menjadi lebih teruk.
Menurut Dr Mohammad Noor Amal Azmai, cara terbaik untuk mengawal pembiakan ikan bandaraya adalah dengan menangkap ikan tersebut di sungai dan dijadikan produk komersial seperti campuran untuk makanan ikan dan udang ternakan serta ikan hiasan.
“Baja pertanian dan telur ikan ini juga mempunyai harga tinggi untuk dijual kepada kaki pancing.” katanya.
“Memakan ikan bandaraya juga tidak salah, cuma bagi saya, sumber ikan yang ditangkap perlu dari kawasan yang bersih sekiranya hendak dimakan. Ikan yang ditangkap dari kawasan kotor mempunyai kandungan logam berat yang tinggi sekiranya tidak dimasak dengan betul, kemungkinan jangkitan bakteria dan parasit juga mungkin berlaku.”
Tambah beliau, kesedaran rakyat Malaysia mengenai masalah ikan pendatang ini amat kurang menyebabkan pemilik ikan ini sering melakukan tindakan drastik dengan melepaskan ikan tersebut di perairan sungai.
| ARTIKEL BERKAITAN