KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah individu yang diangkat sebagai pemimpin dan berperangai saling mencela dan menghina berpotensi mencetuskan kebencian dan menyalakan api permusuhan sekali gus berbahaya kepada negara.
Justeru, baginda bertitah, rakyat dan negara tidak boleh dibiarkan menjadi mangsa kepada tindak tanduk dan perbuatan tidak bertanggungjawab itu termasuk oleh pemimpin samaran yang terbentuk dalam acuan ‘guru sihir’ yang pintar.
Sultan Nazrin kesal perbuatan tidak beradab itu semakin berleluasa, malah ia seolah dinormalisasikan sehingga disebut dalam pelbagai acara termasuk di dewan yang memiliki status kemuliaan, selain di tempat ibadat.
“Amatlah berbahaya kepada negara untuk membiarkan sesiapa sahaja apatah lagi dalam kalangan yang telah diangkat sebagai pemimpin, berperangai saling mencela dan menghina. Ia berpotensi mencetuskan kebencian dan bakal menyalakan api permusuhan,” titah baginda.
Lebih mendukacitakan, ada pemimpin yang merasa megah dan berbangga dengan perbuatan sedemikian.
“Bahasa kesat, lucah, fitnah, cerca, caci, memaki hamun dan menghina, semakin kedengaran, disuarakan tanpa segan silu, malah dilakukan oleh pihak tertentu dengan kemegahan dan kebanggaan,” titah baginda.
Sultan Nazrin menegaskan, nilai kesopanan tidak boleh diketepikan kerana ia asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera.
“Warga dan negara jangan dibiarkan menjadi mangsa kepada tindak tanduk dan perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh pemimpin samaran,” titah baginda.
Bagi menangani kepincangan sedemikian, baginda bertitah pembudayaan ilmu melalui komponen kelima dalam Rukun Negara iaitu ‘kesopanan dan kesusilaan’ perlu dipertingkat bagi memastikan minda rakyat, terutama anak-anak di bangku sekolah tidak terpengaruh dengan teladan perangai tidak beradab.
“Rukun Negara diperkenalkan setelah asas perpaduan kaum dilihat rapuh dan goyah ketika berlakunya pergaduhan dan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 susulan berlakunya perang mulut dan laungan-laungan menyentuh sentimen kaum dan agama yang mencetuskan ketegangan kaum.
“Jadikan pengajaran daripada peristiwa pahit pada tahun 1969 untuk segera dilakukan langkah preventif, menghentikan suara provokatif yang memilih meniupkan bara pertelingkahan berasaskan kaum dan agama,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menggesa universiti menjadi taman didikan yang berupaya melahirkan rakyat yang berjiwa besar, yang mengamalkan semangat hormat-menghormati, yang berupaya berinteraksi dalam suasana harmoni, yang sopan dan memiliki tatasusila, dan warga yang beradab dan bertamadun.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-63 di Dewan Tuanku Canselor, UM di sini, hari ini.
Pada istiadat itu, baginda berkenan menganugerahkan Ijazah Kedoktoran Sejarah dan Arkeologi dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Manakala, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Undang-Undang Syariah dari Akademi Pengajian Islam.
Gelaran Ijazah Kehormat turut dianugerahkan kepada tokoh dalam perkhidmatan awam, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dan Presiden Universiti Kebangsaan Singapura, Prof Tan Eng Chye.