Oleh: Dr Rozita Wahab
Kemurungan antara masalah kesihatan mental yang semakin meningkat dan menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia.
Menurut pernyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), secara puratanya, kira-kira 3.8 peratus daripada populasi dunia mengalami masalah kemurungan setiap tahun, dengan 5.0 peratus daripadanya melibatkan individu dewasa.
Berdasarkan data tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 pula, terdapat hampir setengah juta rakyat, iaitu kira-kira 2.3 peratus penduduk dewasa di Malaysia mengalami gejala kemurungan.
Bagaimanapun, pakar percaya masih banyak kes kemurungan atau masalah kesihatan mental secara amnya yang tidak didiagnosis dan tidak dirawat pada masa ini.
Kemurungan atau depresi adalah masalah kesihatan yang menyebabkan perubahan negatif kepada tiga aspek utama psikologi seseorang individu iaitu mental, emosi, dan juga tingkah laku.
Perubahan ini boleh dilihat dan disedari diri sendiri atau individu rapat berdasarkan gejala tertentu.
Apabila seseorang mengalami kemurungan, antara gejala mental yang boleh dikesan adalah individu berkenaan mula memikirkan perkara negatif seperti dirinya tidak berguna dan tidak bermakna kepada orang lain.
Gejala emosi pula adalah apabila seseorang individu menjadi lebih mudah untuk berasa ‘irritated’ atau ‘jengkel’ kepada perkara tertentu, mengalami sedih berpanjangan atau secara tiba-tiba, serta berasa putus asa dengan kehidupan.
Selain itu, kemurungan juga boleh menyebabkan gejala fizikal seperti keletihanberpanjangan, tahap tenaga menurun serta perubahan selera makan dan pola tidur.
Daripada sudut tingkah laku, individu yang mengalami gejala kemurungan juga cenderung untuk menyendiri, kehilangan minat untuk melakukan aktiviti yang biasanya menjadi kegemaran serta cenderung untuk merosakkan atau menyakitkan diri sendiri, dengan mengambil ubat-ubat terlarang, dadah atau alkohol berlebihan.
Bagi kes lebih ekstrem, individu yang mengalami masalah kemurungan juga cenderung mencederakan diri sendiri atau orang lain, serta melakukan cubaan bunuh diri.
Kemurungan terjadi disebabkan pelbagai faktor, yang boleh diperjelaskan melalui dua kategori utama iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.
Faktor dalaman adalah faktor biologi dan faktor luaran pula adalah faktor persekitaran seseorang individu.
Faktor biologi adalah faktor genetik atau keturunan.
Terdapat banyak kajian ilmiah oleh ahli akademik dan pakar yang menjelaskan sejarah masalah kemurungan dalam keluarga boleh meningkatkan risiko seseorang individu berdepan masalah kesihatan mental yang sama.
Selain itu, faktor dalaman juga merujuk kepada perubahan atau gangguan hormon yang berlakudalam badan seseorang.
Antara contoh faktor persekitaran pula adalah pengalaman sukar yang terjadi dalam kehidupan seperti kehilangan atau kematian orang tersayang.
Selain itu, antara faktor lain adalah apabila berlakunya perubahan rutin hidup yang drastik membuatkan seseorang sukar menyesuaikan diri.
Contohnya ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang menyebabkan perintah berkurung.
Bagi golongan ‘ekstrovert’ yang gemar melakukan aktiviti luar dan perlu sentiasa berhubung dengan orang lain, tempoh ini merupakan fasa dan pengalaman yang sukar.
Masalah kemurungan juga disebabkan trauma atau musibah yang terjadi dalam hidup seperti kemalangan atau serangan fizikal mahupun seksual.
Faktor lain adalah tekanan di tempat kerja, masalah perhubungan dengan orang persekitaran, kehilangan pekerjaan atau penderaan dalam rumah tangga.
Setiap individu adalah unik dan berbeza, tahap ketahanan dan kekuatan mental dan emosi juga tidak sama.
Justeru, faktor yang menyebabkan kemurungan adalah pelbagai dan berbeza.
Jika melihat kepada rawatan, masalah kemurungan boleh dikawal dan diubati.
Antaranya melalui pengambilan ubat-ubatan, menjalani sesi terapi bersama golongan profesional serta penjagaan kesihatan melalui pemakanan dan riadah.
Kaedah rawatan terbaik adalah berdasarkan nasihat dan panduan yang betul daripada golongan profesional.
Bagi individu yang mengalami gejala kemurungan, terdapat beberapa langkah penting mesti dilakukan iaitu mereka perlu menerima hakikat menghadapi masalah kemurungan, tidak boleh menidakkan gejala dialaminya, hidup dalam fasa ‘penafian’ atau terus berdiam diri dan tidak mengambil tindakan lanjut.
Langkah pertama ini sangat penting kerana ia menjadi titik awal kepada langkah seterusnya.
Antara punca yang mungkin menyebabkan seseorang individu tidak mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan masalah kemurungan adalah disebabkan bimbang tentang stigma masyarakat atau tidak mempunyai pengetahuan berkaitan perkara ini.
Seterusnya, apabila individu tersebut menerima hakikat tentang gejala yang dialami, langkah kedua adalah mendapatkan pertolongan pihak tertentu, bermula dengan sokongan sosial daripada individu terdekat diikuti bantuan daripada golongan profesional.
Bantuan ini amat penting kerana individu yang mempunyai gejala kemurungan memerlukan sistem sokongan sosial yang baik sepanjang tempoh mereka melawan penyakit ini, terutama bagi kes kemurungan yang kritikal.
Bantuan golongan profesional pula penting untuk memastikan pesakit mendapatkan rawatan berkesan dan sentiasa berada dalam pemantauan.
Langkah seterusnya, jika individu tersebut disahkan menghadapi masalah kemurungan oleh golongan pakar, mereka perlu mengikuti segala rawatan dicadangkan oleh golongan profesional, seperti menjalani terapi serta mengambil semua ubat-ubatan.
Langkah ini bukan sahaja penting kepada individu yang mengalami masalah kemurungan tetapi turut signifikan kepada individu rapat di persekitaran yang ingin membantu pesakit.
Kesimpulannya, kemurungan boleh diibaratkan “bagai api dalam sekam” apabila kewujudan masalah ini ‘dinafikan’ atau tidak disedari, diabaikan atau dipandang ringan dan tidak dirujuk kepada golongan profesional.
Bagaimanapun, jika gejala kemurungan ini disedari awal dan seterusnya didiagnosis, masalah kemurungan boleh dikawal dan dirawat.
Justeru, amat penting bagi setiap ahli masyarakat untuk peka dan prihatin dengan segala perubahan mental, emosi dan tingkah laku diri sendiri serta perubahan kepada individu di sekeliling mereka.
Keprihatinan setiap ahli masyarakat berkaitan isu kesihatan mental bukan sekadar mampu membentuk masyarakat yang sejahtera tetapi mampu menyelamatkan nyawa seseorang.
…..
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya .